Semenjak balik dari kursus keibubapaan yang diadakan baru-baru ini, saya berasa berkobar-kobar untuk berkongsi input-input yang boleh memperkasakan kita sebagai ibubapa.
Sebelum ini saya mendengar frasa “membesarkan keluarga, meramaikan umat, memperbanyakkan zuriat”…dan pelbagai retorik lagi yang disebut-sebut oleh penceramah lelaki.
Apabila saya memandang pada realiti masyarakat, saya mendapati bahawa ianya suatu yang ‘indah khabar dari rupa’. Terlalu ramai anak-anak Islam yang tidak dibentuk menjadi tunjang kekuatan Islam malahan ramai pula yang menjadi sampah masyarakat.
Saya tidak pasti sama ada semua ini adalah laungan keegoaan lelaki untuk membuktikan ‘kejantanan’ mereka atau mengikuti sunnah?
Apakah selama ini Islam mengajar kita agar mementingkan kuantiti dari kualiti?
Saya mendapati Rasulullah s.a.w juga tidak mempunyai ramai anak sampai berbelas-belas.
Saya belum mendengar kata-kata ulamak yang membenarkan umat Islam ramai tetapi menjadi bangkai tidak bernyawa akibat dadah, terlantar di katil-katil wad orthopaedik akibat berlumba di jalanraya atau ramai wanita yang hamil tanpa bapa yang sah.
Saya juga belum lagi mendengar seruan meramaikan anak dan membenarkan mereka hidup bergelandangan akibat saiz rumah-rumah di Malaysia semakin kecil dan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Atau tidak mengapa anak ramai walaupun mereka terpaksa mencuri dan menyamun akibat tidak mendapat cukup makan di rumah.
Tidak kurang juga yang mempunyai anak ramai namun membiarkan ibubapa mereka dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat di rumah orang-orang tua.
Baru-baru ini seorang makcik berumur 62 tahun datang berjumpa saya dan mengadu sering sakit-sakit belakang. Bila saya tanya, rupanya beiau masih lagi bekerja sebagai pembersih (cleaner) di sebuah bangunan kerajaan. Beliau bekerja 8 jam tanpa henti 6 hari seminggu.
Bila saya mencadangkan agar beliau rehat saja di rumah, beliau memberitahu,
”Siapa mahu beri saya makan, bayar sewa rumah, elektrik dan air? Anak 8 orang semuanya tidak membantu..”
Saya terkejut dengan kata-katanya. Bayangkan kalau setiap orang anak hanya memberikan RM50, bermakna sebulan ada RM400. Sudah tentu makcik itu tidak perlu bekerja kuat di usia yang lanjut.
Banyak lagi kepincangan yang mana kita hanya mementingkan kuantiti dan meninggalkan kualiti.
Dalam satu hadis riwayat Baihaqi, Rasulullah s.a.w bersabda
“Kahwinilah wanita yang subur. Sesungguhnya aku bangga dengan banyaknya kamu berbanding umat-umat lain”
Adakah kita mentafsirkan hadis di atas dengan cara yang betul? Atau kita membaca hadis berlandaskan syahwat dan nafsu?
Islam mengajar untuk mengamalkan sesuatu perkara dengan beberapa kaedah tertentu.