Sunday, 9 February 2014

Bila Masa Sesuai Untuk Mendapat Anak Kedua?

Semenjak balik dari kursus keibubapaan yang diadakan baru-baru ini, saya berasa berkobar-kobar untuk berkongsi input-input yang boleh memperkasakan kita sebagai ibubapa.
Sebelum ini saya mendengar frasa “membesarkan keluarga, meramaikan umat, memperbanyakkan zuriat”…dan pelbagai retorik lagi yang disebut-sebut oleh penceramah lelaki.
Apabila saya memandang pada realiti masyarakat, saya mendapati bahawa ianya suatu yang ‘indah khabar dari rupa’. Terlalu ramai anak-anak Islam yang tidak dibentuk menjadi tunjang kekuatan Islam malahan ramai pula yang menjadi sampah masyarakat.
Saya tidak pasti sama ada semua ini adalah laungan keegoaan lelaki untuk membuktikan ‘kejantanan’ mereka atau mengikuti sunnah? Apakah selama ini Islam mengajar kita agar mementingkan kuantiti dari kualiti?
Saya mendapati Rasulullah s.a.w juga tidak mempunyai ramai anak sampai berbelas-belas. Saya belum mendengar kata-kata ulamak yang membenarkan umat Islam ramai tetapi menjadi bangkai tidak bernyawa akibat dadah, terlantar di katil-katil wad orthopaedik akibat berlumba di jalanraya atau ramai wanita yang hamil tanpa bapa yang sah.
Saya juga belum lagi mendengar seruan meramaikan anak dan membenarkan mereka hidup bergelandangan akibat saiz rumah-rumah di Malaysia semakin kecil dan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Atau tidak mengapa anak ramai walaupun mereka terpaksa mencuri dan menyamun akibat tidak mendapat cukup makan di rumah. Tidak kurang juga yang mempunyai anak ramai namun membiarkan ibubapa mereka dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat di rumah orang-orang tua.
Baru-baru ini seorang makcik berumur 62 tahun datang berjumpa saya dan mengadu sering sakit-sakit belakang. Bila saya tanya, rupanya beiau masih lagi bekerja sebagai pembersih (cleaner) di sebuah bangunan kerajaan. Beliau bekerja 8 jam tanpa henti 6 hari seminggu.
Bila saya mencadangkan agar beliau rehat saja di rumah, beliau memberitahu, ”Siapa mahu beri saya makan, bayar sewa rumah, elektrik dan air? Anak 8 orang semuanya tidak membantu..” Saya terkejut dengan kata-katanya. Bayangkan kalau setiap orang anak hanya memberikan RM50, bermakna sebulan ada RM400. Sudah tentu makcik itu tidak perlu bekerja kuat di usia yang lanjut.
Banyak lagi kepincangan yang mana kita hanya mementingkan kuantiti dan meninggalkan kualiti. Dalam satu hadis riwayat Baihaqi, Rasulullah s.a.w bersabda “Kahwinilah wanita yang subur. Sesungguhnya aku bangga dengan banyaknya kamu berbanding umat-umat lain”
Adakah kita mentafsirkan hadis di atas dengan cara yang betul? Atau kita membaca hadis berlandaskan syahwat dan nafsu? Islam mengajar untuk mengamalkan sesuatu perkara dengan beberapa kaedah tertentu.


Salah satunya ialah melalui Fiqh Aulawiyat (Fiqh Keutamaan). Tertib Fiqh Aulawiyat ialah ’sesuatu amalan haruslah diamalkan mengikut tingkatan keutamaannya’.
Sebagai contoh bilal telah melaungkan qamat ketika solat Jumaat di masjid. Sudah tentu kita terus bersolat Jumaat tanpa melaksanakan dulu solat tahyatul masjid. Solat Jumaat berjemaah lebih utama dari solat sunat.
Bagitu juga jika kita membandingkan antara kuantiti (ramainya anak) dan kualiti (anak-anak yang berjaya dunia dan akhirat). Jika dipilih antara dua tentu kita disuruh memilih kualiti berbanding dengan kuantiti.
Apalagi pilihan yang harus kita lakukan dengan keadaan masyarakat yang semakin hancur dan ibubapa pula tidak ada masa mendidik anak-anak mereka akibat hambatan hendonism dan materialism?
Seorang ibu pernah membawa anak gadis bongsunya yang berumur 13 tahun akibat asthma. Beliau menceritakan anak gadisnya selalu keluar malam bersama adik beradik yang lain dan kawan-kawan mereka apabila ibu mereka keluar pergi bekerja.
Ayahnya bekerja di kilang, ibu pula bekerja di hospital dan mereka terpaksa bekerja mengikut syif. Susah untuk mengawal anak-anak mereka seramai lima orang apabila kedua-dua ibubapa terpaksa bekerja syif malam. Memang menyedihkan apabila anak yang seramai lima orang tidak melanjutkan pelajaran. Setakat tingkatan tiga sahaja.
Semoga Allah menyelamatkan kita dari kejahilan agama. Banyak lagi perbahasan yang mengutamakan kualiti dari kuantiti. Semestinya Rasululllah s.a.w mahukan umat yang ramai dan mempunyai ciri-ciri muslim yang berkualiti seperti takwa, soleh, berilmu dan berani.
Sebuah hadis diriwayatkan daripada Thauban r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud : “Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi talam dan mengajak orang lain makan bersama.”
Maka para sahabat r.a. pun bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?” Sabda Baginda SAW : “Bahkan masa itu mereka (umat Islam) lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.” Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?“ Jawab Rasulullah SAW, “Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn.” Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu al-Wahn?” Rasulullah SAW bersabda : “Cintakan dunia dan takut akan kematian..”
Kita berbangga bahawa umat Islam melebihi 1.7 bilion, atau 26 peratus daripada penduduk muka bumi. Tetapi hakikatnya kita cuma menguasai 5.6 peratus daripada ekonomi dunia. Kebanyakan kita pula menunjukkan contoh yang buruk dari segi akhlak dan gaya hidup. Islam sentiasa memberitahu kita bahawa kualiti melebihi kuantiti. Dalam Surah al-Waqiah, golongan as-sabiqun yang sedikit itu disayangi Allah.
Dan Allah tidak memandang pada kuantiti yang tidak berkualiti. Allah berulang kali berfirman “Kebanyakan manusia tidak bersyukur”, “Kebanyakan manusia tidak mengetahui”, “Kebanyakan manusia tidak menggunakan akal”,
Malah dalam peperangan Badar, tentera Islam hanya 313 orang sahaja berbanding dengan tentera musuh seramai 1000 orang. Begitu juga dengan sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a “Seorang Muslim yang kuat lebih disayangi Allah dari seorang Muslim yang lemah”.
Jadi ternyata kualiti itu adalah lebih diutamakan daripada kuantiti mengikut pandangan Islam. Pasti Rasulullah tidak mahu umat yang ramai tetapi tidak berkualiti. Ada kata-kata ulama “Manusia itu lebih baik dari makhluk lainnya seumpama satu berbanding seribu”. Maknanya, kekuatan seorang yang berkualiti menyamai 1000 orang yang tidak berkualiti.
Merancang keluarga sudah ada sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, dari Jabir r.a. “Kami pernah melakukan Al-’Azal di zaman Rasulullah SAW dan perkara itu sampai ke pengetahuan baginda, tetapi Baginda tidak pula menegah kami daripada melakukan perkara tersebut.”-
Azal ialah kaedah semulajadi kawalan suami atau orang sebut ‘pancut luar’. Kebanyakan ulama berpendapat ’melakukan azal dengan izin isteri’ dibolehkan dengan syarat bukan kerana takut miskin.
Namun harus ditegaskan bahawa merancang keluarga bukan bermakna menghadkan bilangan anak, tetapi merancang perkembangan potensi anak yang sedia ada.
Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan apa saja kaedah merancang keluarga adalah dibenarkan selagi ia tidak bersifat kekal dan takut jatuh miskin. Rasulullah banyak berpesan dalam bab meramaikan anak ini, supaya menjaga dan mendidik mereka dengan sebaik-baiknya, agar menjadi umat berkualiti.
Allah berfirman dalam surah at-Tahrim ayat 6 “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu”.
Ternyata tugas ibubapa bukan setakat meramaikan anak, tetapi juga tanggungjawab mendidik dan membangunkan potensi anak. Ia bukan tugas yang mudah. Sebagai contoh, bagi mereka yang berpendapatan rendah, tinggal di flat dua bilik yang kecil, saranan meramaikan ahli keluarga tentunya bukanlah sesuatu yang patut.
Kecuali ada support system yang baik daripada masyarakat dan kerajaan. Bukan setakat pembangunan fizikal seorang kanak-kanak yang harus dibantu, tetapi pembangunan minda dan emosi juga. Banyak yang harus dibuat.
Siapa yang harus membuat keputusan menambah anak? Tiada seorang pun yang dapat memberikan nasihat yang tepat. Kita sebagai ibubapalah yang memilih dan bertanggungjawab terhadap apa yang kita pilih. Namun mempunyai seorang lagi anak bukannya seperti memiliki kereta permainan yang boleh disimpan di dalam almari.
Keputusan menambah ahli keluarga akan melibatkan perubahan rutin setiap hari. Setiap anak yang baru lahir memerlukan perhatian dan penjagaan yang sempurna. Mereka bukan setakat makan dan minum sahaja.
Perkembangan fizikal mereka seharusnya diimbangi dengan perkembangan emosi dan minda mereka. Ini semua akan melibatkan pelaburan masa, wang dan tenaga dari kedua-dua orang ibu dan bapa.
Semestinya menambahan seorang ahli keluarga akan memberi kesan kepada cara kehidupan, kewangan, kerjaya, hubungan suami-isteri dan anak-anak yang lain. Ramai ibu muda yang bertanya kepada saya “Bilakah masa yang sesuai untuk saya hamil lagi?”
Ikutilah perbincangan seterusnya dengan skop yang lebih luas meliputi aspek perubatan dan sosial, sama ada kita bersedia untuk menerima orang baru dalam kehidupan kita. Banyak pandangan pro dan kontra di sini.
Saya tidak bermaksud untuk mempengaruhi pilihan ibubapa muda yang baru membina keluarga. Cuma saya harap beberapa isu yang akan saya huraikan menjadikan pedoman ‘sebelum terhantuk, kita perlu terngadah dulu’.
Isu-isu ini semua mengajak kita berfikir dan ‘sediakan payung sebelum hujan’. Semua bahan bacaan, info dari teman malah nasihat dari doktor mengenai masa yang seuai seharusnya ditimbang dengan kemampuan kita menambah dan membesarkan seorang anak lagi. Ibubapa yang membuat pilihan.
Masa yang sesuai?
Institut Alan Guttmacher di Amerika Syarikat mencadangkan kepada ibu di sana supaya jarak anak pertama dan kedua ialah 30 bulan. Ini berdasarkan kajian yang telah dibuat. Mengikut kajian yang diterbitkan oleh Journal of the American Medical Association, jarak masa untuk hamil semula kurang dari 18 bulan selalunya menyebabkan bayi yang kedua dilahirkan akan lahir pramatang (premature), dan kurang berat badan. Ini kerana ibu yang baru hamil memerlukan masa untuk rehat dari stress dan kekurangan makanan,rehat dan tidur semasa kehamilan kali pertama.
Faktor seperti ketahanan tubuh wanita yang semakin berkurangan apabila memasuki umur 35 tahun juga perlu diambil kira. Begitu juga kajian yang dijalankan oleh University of California di San Francisco mendapati jarak masa yang sesuai bagi menjarakkan anak ialah antara 24 hingga 35 bulan. Bayi yang dilahirkan pada jarak masa kurang 24 bulan didapati mempunyai kurang berat badan.
Jadi apa sebenarnya yang mempengaruhi pembesaran anak yang sempurna dan masa yang sesuai untuk menambah bilangan anak? Umur anak anda sekarang: Seperti yang dinyatakan bahawa banyak doktor di US mencadangkan agar jarak antara anak pertama dan kedua ialah 30 bulan bagi ibubapa memberikan tumpuan kasih sayang dalam membesar dan mengembangkan potensi anaknya.
Di samping itu ia memberikan masa untuk seorang ibu berehat dan mengembalikan kesihatannya. Keadaan kesihatan/fizikal anak anda sekarang: Jika pertumbuhan fizikal dan perkembangan mental anak anda yang sekarang tidak memuaskan dan memerlukan perhatian yang khusus, tentunya agak sukar untuk mempunyai seorang lagi bayi kecil yang memerlukan banyak tumpuan perhatian.
Tunggulah sehingga anak anda sekarang mampu untuk berdikari agar kita mampu memberikan perhatian pada seorang anak dalam satu masa. Umur ibubapa sekarang: Umur ibubapa adalah faktor yang penting sebelum memikirkan untuk menambah bilangan ahli keluarga, terutamanya wanita yang bakal hamil dan diharapkan menjaga bayi itu. Jika umur wanita itu sudah 38 tahun, maka tiada peluang untuk menjarakkan anaknya sehingga 3 tahun.
Tentunya wanita itu tidak punya masa yang banyak untuk menanti anak ke dua. Tetapi kalau wanita itu berumur 30 tahun ke bawah, dan tidak mempunyai masalah perubatan yang menyukarkan dirinya untuk hamil, sudah tentu ianya tidak menjadi masalah. Jadi berbincanglah dengan suami atau isteri mengenai perancangan di masa tua.
Gaya hidup sekarang:
Menambah seorang lagi anak akan mengubah gaya hidup kita. Isu siapa yang akan menjaga anak kecil itu di samping siapa yang akan berjaga malam dan membuatkan susu adalah isu yang harus difikirkan.
Jika ibubapa berkerjaya, tentulah seorang pengasuh diperlukan untuk membantu menjaga bayi yang baru lahir itu. Dan bagaimana pula dengan ‘masa bersama’ isteri atau suami ? Ingatlah bahawa bayi yang bakal dilahirkan akan merubah rutin hidup kita.
Pastikan kita mempunyai masa dan tenaga untuk menjaga bayi yang baru dilahirkan. Keadaan kewangan sekarang Mungkin kita berpegang pada falsafah “wang bukan segalanya”, tetapi realitinya kita memerlukan wang untuk membesarkan anak dan keluarga. Bayangkan seorang bayi memerlukan sebanyak RM120 sebulan untuk susu formula dan RM200 untuk lampin pakai buangnya. Ini bermakna secara asasnya, penambahan sebanyak RM320 sebulan dan RM3840 setahun.
Bagaimana pula dengan ubat-ubatan dan vaksinnya jika ibubapa tidak sempat ke Pusat Kesihatan Kerajaan? Jika kedua ibubapa bekerja, perlu pula menggajikan seorang pengasuh yang dibayar antara RM200-300 sebulan.
Oleh itu jika mahu menambahkan ahli keluarga haruslah menimbangkannya dan sama-sama berbincang. Duduk berbincang. Mungkin ambil masa beberapa hari. Pastikan kedua-dua setuju setelah meneliti isu-isu yang berkaitan. Jika perlu, buatlah solat Isthikarah. Jika sebelum berkahwin, kita solat dalam menentukan keputusan kita, maka tidak menjadi kesulitan jika kita bersolat isthikrah bagi diberikan petunjuk berkenaan isu ini pula.
Keputusan ini adalah keputusan besar dalam kehidupan. Jangan dengar arahan kawan atau termakan cerita mereka. Kita sendiri yang menentukan masa depan kita. Jangan terburu-buru untuk mendapatkan anak kedua. Walaupun ada seruan untuk meramaikan anak, tahap kesihatan isteri yang bakal hamil dan menjaga bayi juga harus diambil perhatian terutama jika isteri juga berkejaya.
Secara keseluruhannya masa yang sesuai untuk menambah anak kedua ialah selepas 18 bulan. Jika hamil kurang dari jarak 18 bulan, dibimbangi kelahiran pramatang anak kedua dan berat bayi itu tidak mencukupi (low birth weight). Ia juga adalah masa yang sesuai untuk seorang ibu mengumpulkan kembali kekuatannya dan menyembuhkan organ dalaman yang tercedera ketika melahirkan. Jadi sebelum merancang untuk anak kedua haruslah menjalani pemeriksaan kesihatan agar kesihatan badan ibu tidak terjejas.
          Wallahu a’lam

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (251210) Tags: anak ramai, kesihatan ibu, premature This entry was posted on 25/12/2010 at 12:20 pm and is filed under Bina Keluarga, Fiqh Perubatan. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed.

No comments:

Post a Comment